ISKANDAR PUTERI 28 Feb - Sireh Park terletak di Jalan Nusa Idaman di sini menjadi bukti komitmen sebuah yayasan di bawah UEM Sunrise yang dikenali sebagai The Nusajaya Natural Heritage Trust dalam pemerkasaan pengurusan isu alam sekitar terbaik bertaraf global.
Menurut Ketuanya, Faisal Mohd Nor, kawasan hutan taman berkeluasan 134 hektar itu mula dibuka kepada awam pada November 2017 selepas diubah suai daripada asalnya merupakan ladang getah yang terbiar dan tidak diuruskan mana-mana pihak sejak puluhan tahun.
"Ini juga boleh dianggap hutan dalam bandar moden kerana dari puncak bukit di sini, pengunjung boleh nampak panorama kawasan perumahan Horizon Hill dan Bukit Indah selain ada tasik semula jadi berbentuk semacam tapak kaki ayam," jelasnya kepada DagangNews.
Meskipun baru dibuka kurang 10 tahun lalu, Sireh Park ujarnya, sudah ditanam kira-kira 10,000 pokok kayu hutan dalam usaha yayasan berkenaan menyokong pemuliharaan alam dan memupuk kesedaran masyarakat tempatan untuk lebih cinta kepada aspek kehijauan kawasan.
Bagaimanapun tambahnya, jumlah tersebut masih kurang dan pihaknya berhasrat menanam sehingga genap 25,000 pokok berkenaan menjelang 2028 dengan menggalakkan orang awam menyumbang hanya RM200 bagi setiap pokok kepada projek khas itu secara sukarela.
Uniknya, kata Faisal, tidak seperti penanaman pokok di tempat-tempat lain, program tersebut pula akan direkodkan secara sistematik dalam aplikasi GeoTrees yang telah dibangunkan oleh pasukan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sendiri.
"Individu yang menanam pokok berkenaan akan menerima kod QR tersendiri yang ditag di tumbuhan tersebut lengkap dengan nama spesies, tarikh penanaman dan siapa menanamnya selain memantau perkembangan tumbesaran pokok itu sehingga jadi matang," jelas beliau.
Selain itu ujarnya, Sireh Park amat popular sebagai destinasi ekopelancongan kerana mengandungi pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung antaranya ialah perkhemahan, memancing ikan, berbasikal lasak, berkayak di tasik seluas 25 hektar selain berkhemah.
Setiap minggu jelas beliau, kawasan parkir awam yang ada kira-kira 600 petak kereta sentiasa penuh sesak bahkan banyak kali 'melimpah' sehingga ke tepi jalan besar pada hari cuti persekolahan atau kelepasan am apabila ramai datang ke taman tersebut.
Pihaknya tambah Faisal, turut menyediakan pelbagai kemudahan antaranya surau, tandas awam dan zon trak makanan di pekarangan Sireh Park di samping menawarkan pakej khas kepada mana-mana syarikat, sekolah dan sebagainya untuk aktiviti secara berkumpulan.
"Bagi yang ingin tinggal dalam khemah secara eksklusif atau 'glamping', kami juga ada Canopy Villa boleh memuatkan sehingga enam orang serta lengkap berhawa dingin dengan tandas peribadi dan dapur terbuka seolah-olah resort tetapi dalam hutan," katanya.
Menyentuh perancangan jangka panjang pula, beliau berkata, pihaknya bersedia dalam memastikan santuari itu mampu menjadi tarikan utama pelancongan alam demi menjayakan Tahun Melawat Johor 2026 serta memastikan pengalaman terbaik kepada semua pengunjung.
Situasi berkenaan ujarnya, bukan mustahil dicapai kerana sepanjang tahun lepas, Sireh Park berjaya merekodkan lebih 25,000 pelawat dan yakin angka tersebut boleh ditingkatkan menerusi pelbagai promosi dan penganjuran aktiviti tanpa menjejaskan taman berkenaan.
Misi ini juga kata Faisal, selaras dengan visi UEM Sunrise sendiri terus mendidik masyarakat mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar yang lestari mengikut standard antarabangsa di sebalik usaha pembangunan perbandaran pesat di Iskandar Puteri. - DagangNews.com
Jalan Nusa Idaman, Nusa Idaman, 79100 Nusajaya, Johor, Malaysia
+607-231 7881